Thursday, 17 May 2012

Malaysia Cyber Conference 1.0














Oleh Gaddafi Musli
gaddafi@hmetro.com.my

IPOH: Menubuhkan askar sukarelawan siber diterajui belia untuk mempertahankan sistem komputer negara daripada ancaman penggodam luar adalah antara resolusi dicapai pada Malaysian Cyber Conference (MCC) 2012 yang dihadiri 110 peserta terdiri daripada belia dan pengamal siber, di sini.

Pengarah Projek MCC, Afnan Afiq Alias, berkata isu keselamatan siber khususnya laman web rasmi kerajaan harus diambil perhatian berikutan kes penggodaman yang semakin serius.

“Dengan adanya sukarelawan siber, ancaman seperti ini dapat ditangani dengan lebih pantas di samping membantu agensi keselamatan siber untuk menangkis serangan penggodam berniat jahat,” katanya.

Menurutnya kepakaran godam sering dipandang negatif berikutan tindakan beberapa pihak yang sering melakukan ‘defacement’ atau mengubah paparan utama laman web kerajaan.

“Pada pandangan saya mereka sebenarnya hanya mahu mendedahkan kelemahan sistem keselamatan laman terbabit dan tidak mengganggu data yang disimpan.

“Bayangkan jika pihak luar yang melakukan penggodaman dan menyalah gunakan data sulit yang disimpan,” katanya ketika ditemui.

Justeru, katanya, penubuhan pasukan ini amat perlu untuk membantu agensi kerajaan memantau keselamatan laman web mereka terutama yang menyimpan data sensitif.

Afnan memberi contoh kejadian godam membabitkan laman sebuah agensi penguat kuasa baru-baru ini dengan data seperti pendapatan mengikut negeri didedahkan penggodam tidak bertanggungjawab.

“Saya menyeru belia khususnya yang mempunyai kepakaran godam untuk menyertai MCC dan menjadi sebahagian daripada benteng pertahanan sistem keselamatan siber negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Belia Teknologi Informasi (ITYM), Khaireel Azlee Abdul Aziz yang juga antara tulang belakang MCC menjelaskan, peranan sukarelawan siber bukan sekadar menjadi benteng malah berperanan membentuk polisi membabitkan teknologi informasi (IT) dan belia.

“Golongan ini dapat membantu kerajaan dengan memberikan maklum balas, cadangan serta kehendak mereka untuk memudahkan proses penggubalan polisi,” katanya.

Turut diadakan dalam program berkenaan, forum yang membincangkan fenomena godam serta implikasinya terhadap masyarakat selain perbincangan bersama mengenai kaedah keselamatan siber.

MCC mendapat kerjasama Virtual Youth Resource Center (VYREC) serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

sumber : 
http://www.hmetro.com.my/articles/Askarsibersukarela/Article



No comments:

Post a Comment